BM EN
Daftar masuk
Senaman Regangan (Memanas dan Menyejukkan Badan)

Senaman Regangan

What’s up guys? Nak belajar sedikit tentang senaman regangan tak? Jom kita explore!

Senaman regangan merupakan sejenis senaman yang dilakukan sebelum dan selepas kita melakukan aktiviti senaman. Contohnya sebelum bermain futsal, kita perlu melakukan aktiviti regangan untuk memastikan sistem dalam badan bersedia dan dapat beraksi dengan lebih cekap.Ia merupakan komponen wajib yang perlu diikuti oleh semua individu untuk bersenam.

Faktor penting kita perlu melakukan regangan ialah untuk melindungi otot, tendon dan ligamen terkoyak ketika pergerakan regangan yang kasar. Ini penting terutama bagi aktiviti seperti membaling dan menendang bola yang memerlukan pelbagai gerakan yang agresif . Memanaskan badan juga meningkatkan pengaliran darah melalui tisu lembut dengan melebarkan saluran darah dan hasilnya, suhu meningkat dan anggota badan menjadi lebih lembut.

Kebaikan Senaman Regangan

  • Meningkatkan suhu tubuh dan menjadikan kita lebih bersedia melakukan aktiviti.
  • Melancarkan aliran darah dan seterusnya menjadikan pergerakan sendi dan otot lebih tangkas.
  • Mengurangkan risiko kecederaan ketika bersenam.
  • Meningkatkan keupayaan dan fleksibiliti sendi.
  • Memperbaiki postur tubuh.
  • Meningkatkan prestasi tubuh semasa melakukan aktiviti senaman.
  • Merehatkan otot-otot yang tegang hasil dari aktiviti yang dilakukan.

Tips Senaman Regangan
Lakukan regangan secara perlahan dan elakkan gerakan mengejut (bobbing atau bouncing - melonjak dan memantulkan badan secara tiba-tiba). Ini akan merosakkan otot yang diregang.
Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian ketika meregangkan badan ialah keseimbangan. Seimbangkan aktiviti meregang pada kedua-dua bahagian badan. Jika anda selesa dengan bahagian kanan tubuh, jangan sesekali mengabaikan bahagian kiri. Ini bagi memastikan seluruh tubuh badan bersedia untuk kegiatan fizikal seterusnya.

Senaman regangan yang sebaiknya perlu memberi kesan kepada otot-otot utama dalam badan kita. Lakukan mengikut turutan samada dari kepala ke kaki atau sebaliknya. Tahan setiap pergerakan selama 8 saat. Bernafaslah seperti biasa.

Sama seperti kesan buruk yang dialami apabila tidak memanaskan badan, berhenti secara tiba-tiba selepas melakukan senaman juga merbahaya. Kurangkan intensiti aktiviti yang sedang dilakukan dan kemudian berhenti secara beransur-ansur. Ambil sedikit masa bagi menyejukkan otot untuk mengelakkan kekejangan dan mengurangkan kesakitan otot. Menyejukkan badan menyebabkan rerambut otot menutup dan menghalang darah `berkumpul’ yang boleh membawa kepada penurunan tekanan darah secara tiba-tiba.