BM EN
Daftar masuk
Mulakan Hidup Aktif

Mulakan Hidup Aktif

Hi semua! Masyarakat Malaysia pada masa kini amat prihatin dalam soal penjagaan kesihatan. Kat mana-mana pun kita dapat lihat ramai orang yang tengah buat aktiviti kecergasan seperti berjalan pantas, berlari, berbasikal dan bersukan. Tidak kurang pula yang pergi gim yang tumbuh bak cendawan selepas hujan terutama di sekitar Lembah Klang ni.

Namun begitu, hakikatnya masih ramai di antara kita yang tidak aktif dan ini akan memberi kesan kepada kesihatan kita.

Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan Tahun 2011 menunjukkan prevalens masyarakat Malaysia yang menghidapi diabetes sebanyak 15.2% berbanding pada tahun 2006 sebanyak 11.6% sahaja. Selain itu prevalens obesiti turut meningkat pada tahun 2011 iaitu sebanyak 15.1% berbanding 14% pada tahun 2006.

Saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi “Global Recommendations on Physical Activity for Health 2010” menyatakan kumpulan yang berada dalam lingkungan umur 18 hingga 64 tahun disarankan melakukan aktiviti fizikal intensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu atau 75 minit bagi aktiviti intensiti tinggi bagi mendapat faedah kesihatan yang optimum.

Definisi Aktiviti Fizikal
Aktiviti fizikal ditakrifkan sebagai sebarang pergerakan anggota tubuh badan yang menyebabkan penggunaan tenaga berlaku. Contohnya berdiri, duduk, berjalan, menghayun tangan, mengerjakan solat dan sebagainya. Untuk mendapatkan faedah dari segi kesihatan, aktiviti fizikal perlu dilakukan dalam tahap sederhana ataupun tinggi secara konsisten. Ni serious beb, bersenam kena lah konsisten!


Contoh Aktiviti Fizikal
Contoh aktiviti fizikal intensiti sederhana adalah:

  • Mengemop lantai
  • Membersihkan tandas
  • Menaiki tangga
  • Membasuh pinggan untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 minit
  • Mencuci pakaian
  • Megemas tempat tidur
  • Berkebun
  • Membasuh kereta

Bagi mereka yang mempunyai laman rumah aktiviti berkebun seperti menyapu daun-daun, membaja, menyiram pokok dan menyusun pasu dikategorikan sebagai aktiviti fizikal intensiti tinggi yang boleh membakar kalori dan menguatkan otot lengan dan kaki
Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia seperti Kempen Berjalan 10,000 Langkah Sehari yang bertujuan untuk memberi kesedaran yang lebih tinggi tentang kepentingan menjadi aktif setiap hari.

Aktiviti berjalan 10,000 langkah sehari merupakan satu aktiviti yang sungguh mudah dan memberi manfaat menakjubkan kepada kesihatan jika diamalkan secara konsisten. Apa tunggu lagi? Jom kita aktif!